Covid-19: 8 kematian dengan 801 kes positif baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 801 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 799 kes tempatan dan dua kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 29,441 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,123 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 246 kes.

“Dukacita dimaklumkan lapan kes kematian dilaporkan melibatkan dua bukan warganegara dan baki enam warganegara.

“Daripada jumlah ini, satu kes dilaporkan di Selangor manakala tujuh lagi dilaporkan di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes positif harian dengan 546 kes, diikuti Selangor (89), Labuan (29), Kedah (28), Sarawak (27), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (19), Kuala Lumpur (14), Terengganu (11), Perak (6) dan Johor (8).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 573 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 19,072 kes atau 64.78 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 25 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat empat kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Seri Gaya di Sabah, Kluster Green Hill (Kuching), Kluster Idaman (Kuala Lumpur) dan Kluster Bayu (Johor).

Ujar Dr Noor Hisham, setakat ini jumlah kes positif dalam kluster-kluster ini adalah sebanyak 61 kes. — DayakDaily