Polis menahan remaja lelaki yang mengamuk dan mengancam nyawa kakak sendiri

Suspek remaja lelaki ugut kakak kandung ditahan untuk siasatan lanjut
Advertisement

Oleh: Brad Rantayy

MIRI, 11 Dis: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mengamuk dan mengancam nyawa kakak kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di lorong Usahawan 3 Jalan Miri -By pass awal pagi Khamis( Disember 10).

Suspek ditahan sekitar jam 1.20 petang susulan satu laporan polis dibuat oleh pengadu selepas kejadian awal pagi itu.

Advertisement

Dalam kejadian jam 7 pagi itu suspek dikatakan mengamuk dan mengancam nyawa kakaknya yang berusia 26 tahun selepas berang ditegur agar tidak membuat bising kerana anak pengadu berusia satu bulan sedang tidur di dalam bilik.

Berang, suspek bertindak memecahkan cermin almari solek di ruang tamu dalam rumah pengadu dan mengancam akan memecahkan kepala pengadu seperti apa yang dia lakukan terhadap cermin almari solek tersebut.

Bimbang terhadap keselamatan dirinya dan anak, pengadu telah membuat satu laporan polis.

Bertindak atas laporan itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek di rumah pengadu untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol ketika dihubungi memgesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda bernilai RM25 ke atas. — DayakDaily

Advertisement