Polis serbu ‘Call Centre’ judi dalam talian di Batu Kawa

Siasatan dijalankan oleh pasukan operasi sebaik sahaja berjaya memasuki premis tersebut

Oleh: Juetila Ozzy

KUCHING, 11 Dis: Sebuah lagi ‘call centre’ sindiket judi dalam talian di Jalan Ensing, Batu Kawa digempur dalam satu operasi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kegiatan tersebut yang bersembunyi di sebalik sebuah rumah mewah terbongkar hasil daripada risikan yang dibuat oleh anggotanya.


Beliau memberitahu seramai lima warga Indonesia termasuk dua wanita berusia lingkungan 17 hingga 35 tahun turut ditahan.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi selama lebih kurang tujuh bulan dengan keuntungan kasar mencecah RM5,000 sehari dan RM150,000 sebulan.

“Laman sesawang judi yang digunakan ialah 918kiss, Kiss Kaya, Mega888, Pussy88 dan XE888,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bercakap mengenai kelima-lima suspek, disyaki mereka merupakan pekerja di premis tersebut dengan bayaran gaji dari RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

“Bilik tingkat atas disediakan untuk pekerja berehat dan mereka juga tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” kata Aidil.

Dedahnya juga, kesemua suspek dibekalkan telefon bimbit dan komputer untuk urusan pasaran dan pelanggan.

“Fungsi telefon bimbit adalah untuk operator membuat panggilan atau menghantar SMS kata laluan kepada pelanggan untuk perjudiaan,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. — DayakDaily