Anak guna gunting mengugut bapa ditahan polis

Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut

Oleh : Brad Rantayy

MIRI, 11 Dis: Hanya kerana tidak mendapat wang RM300 yang diminta, seorang lelaki berusia 44 tahun di sini tergamak mengugut untuk mencederakan bapa kandungnya sendiri menggunakan sebilah gunting.

Lelaki itu dikatakan bertindak demikian selepas bapaknya yang berusia 71 tahun gagal menunaikan permintaannya menyebabkan suspek mengamuk sambil memegang sebilah gunting untuk mencederakan pengadu.


Difahamkan kejadian berlaku di dalam sebuah rumah di RPR Batu 6 Jalan Pujut-Kuala Baram pada 6 dan 8 Disember.

Dalam kejadian pada Disember 6 sekitar jam 7.30 malam, suspek telah meminta wang tunai sebanyak RM300 daripada pengadu dengan alasan membayar bil sambil memegang sebilah gunting.

Suspek berang selepas pengadu mengatakan tidak mempunyai wang sejumlah itu, memandangkan seminggu yang lalu (sebelum kejadian), suspek telah diberikan RM300.

Sejak permintaannya tidak dilayan, suspek telah mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol berkata tangkapan telah dibuat oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) pada petang Disember 10 (Khamis) susulan satu laporan polis dibuat pengadu.

Suspek telah ditahan pada petang Khamis sekitat jam 4.40 petang untuk siasatab lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily