Polis memberkas 3 suspek kes pecah masuk di Piasau Garden


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Okt: Tiga lelaki warga tempatan, termasuk seorang pembeli barangan terpakai, dipercayai terlibat dalam kes memecah masuk sebuah kafe di Piasau Garden seminggu lalu berjaya diberkas.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 26, 35 dan 58, ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) dalam satu operasi semalam sekitar jam 3 petang.


Tangkapan diketuai Inspektor Erwin Geofrry Ussan.

Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Piasau Utara.

Turut ditemui ialah beberapa barangan dipercayai dicuri.

Dalam kejadian pada Sept 26 sekitar jam 3 pagi itu, kafe berkenaan telah dipecah masuk menggunakan besi kuku kambing.

Selain beberapa peralatan sistem bunyi termasuk kamera litar tertutup, wang tunai berjumlah RM3,000 turut hilang dalam kejadian pecah masuk tersebut.

Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM11,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol mengesahkan tangkapan.

Menurut sisatan awal, dalam kejadian, suspek dipercayai telah bertindak memindahkan barangan dari kafe berkenaan ke sebuah lokasi di Piasau Utara menggunakan sebuah motorsikal, sebelum menjual barangan itu kepada pembeli mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. — DayakDaily