Polis Marin rampas rokok dan minuman keras disyaki diseludup bernilai lebih RM2 juta di Kuching

Minuman keras dan rokok yang dirampas untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 19 Jan: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) merampas pelbagai jenama minuman keras dan rokok putih disyaki diseludup masuk pada hari Selasa lepas.

Komandernya ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata rampasan telah dibuat oleh anggotanya yang menjalankan operasi Op Taring Kontraban selepas menahan sebuah lori di Jalan Serian By Pass sekitar jam 2.45 pagi hari tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelbagai jenis minuman keras dan rokok putih di dalam lori tersebut.


“Siasatan mendapati pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkaitan pemilikan barangan tersebut.

“Pasukan operasi kemudian bertindak merampas kesemua minuman keras, rokok dan lori tersebut yang dianggarkan keseluruhan mencecah RM2,317,509,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu lori turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily