SARIKEI, 20 Mei: Pasukan Polis Marin Wliayah 5 (PPMW5) berjaya menghalang kegiatan dipercayai cubaan menyeleweng 16,000 liter bekalan minyak diesel, di sini hari ini.
Komandernya ACP Shamsol Kassim berkata anggotanya melalui Ops Kontraban telah menahan sebuah lori tangki di Jalan Batu 14 Jalan Jakar Sarikei, iaitu sekitar jak 10.40 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati tangki lori tersebut mengandungi 16,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM33,600.
“Siasatan lanjut mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan barang kawalan (diesel) dari KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, pemandu lori berusia 43 tahun ditangkap dan minyak diesel tersebut dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori mencecah RM203,600.
Laporan polis telah dibuat dan kes dirujuk serta diserahkan kepada KPDNHEP Sarikei untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily