Polis lumpuhkan kegiatan ‘bookie’ bola sepak di Bau

Siasatan dijalankan di lokasi serbuan di Jalan Bau-Kuching.

BAU, 16 Jun: Seramai enam individu termasuk dua warganegara Indonesia disyaki ejen ‘bookie’ bola sepak ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Bau-Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata serbuan dilakukan oleh unit D7 IPK Sarawak bersama JSJ IPD Bau sekitar jam 5.15 petang hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat di bawah Ops Soga.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut dijadikan ‘calling centre’ kegiatan perjudian dan pertaruhan tersebut.


Keenam-enam individu yang  ditangkap, terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun.

Kesemua mereka didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah enam set komputer, komputer riba, 9 unit telefon bimbit dan dua modem.

Siasatan lanjut ke dijalankan di bawah seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 15(1)(c)Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily