This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Ogos: Pihak Polis Ibu Pejabat Daerah Kuching bagi tempoh 9 hingga 21 Ogos lepas telah menerima 3 laporan palsu oleh individu tempatan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, ia melibatkan individu dalam lingkungan umur 31 hingga 34 tahun.
“Individu ini mendakwa telah menjadi mangsa kes samun, curi kenderaan dan kehilangan wang tunai dalam kenderaan.
“Setelah siasatan lanjut dilakukan mendapati laporan yang dibuat oleh ketiga-tiga individu tersebut adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahsmon, dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 8 laporan palsu telah diterima.
Dan bagi tempoh yang sama tahun 2022 terdapat sebanyak 4 laporan palsu iaitu peningkatan sebanyak 100 peratus.
Katanya, siasatan mendapati perbuatan laporan polis palsu ini dibuat bagi mengaburi masalah kewangan dan hutang individu yang terlibat.
“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan telah di buat di Mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda maksimum RM2, 000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” kata Ahsmon. — DayakDaily