Oleh Dean Adam
KUCHING, Dis 10: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak kini sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penipuan pembelian gaharu yang melibatkan kerugian sebanyak RM15,342.
Ketua JSJK Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku membabitkan seorang pengurus tokong berusia 53 tahun antara Disember 15, 2017 hingga Februari 12, 2018.
Menurutnya, modus operandi suspek yang bernama Eileen Then, 29, ialah dengan mengatakan majikannya ada menjual batang gaharu yang diimport dari China.
“Suspek kemudian meminta mangsa membayar wang pendahuluan kira-kira 70 peratus atau RM11,792.00 melalui serahan wang tunai di rumah mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, suspek berjanji barang yang dibeli oleh mangsa akan sampai dalam tempoh 55 hari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafa menambah, selepas hari ke-45, suspek mengatakan barang telah sampai di Pelabuhan Kuching dan mangsa diminta membuat bayaran penuh berjumlah RM10,000 kepadanya.
Katanya, akibat terperdaya mangsa telah menyerahkan wang tunai kepada suspek.
“Suspek juga meminta mangsa membayar wang RM1,500 untuk urusan lain dan telah dibayar oleh mangsa secara tunai.
“Setelah bayaran dibuat, mangsa ingin mengambil barangan yang dibeli, tetapi suspek cuba mengelak dan mengatakan majikannya telah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan,” jelasnya.
Mustafa menambah, mangsa yang rasa ditipu telah meminta wangnya dikembalikan dan pada Februari 12 lepas, suspek telah memulangkan wang berjumlah RM5,000 kepada mangsa.
Bagaimanapun katanya, baki wang selebihnya tidak dikembalikan oleh suspek.
“Selepas itu, suspek juga tidak menjawab panggilan telefon mangsa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Eileen Then diminta menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily