Polis diseru pantau akaun Facebook yang seolah-olah menghina masyarakat Kabong

Gambar menunjukkan komen yang dimuat di laman Facebook dipercayai milik ADUN Pujut.

KUCHING, 22 Nov: Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang hari ini menyelar satu komen Facebook dipercayai milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon, yang seolah-olah menghina masyarakat Kabong.

ADUN Muara Tuang tersebut telah menyeru pihak polis untuk memantau komen tersebut.

Dalam komen yang dimuat di akaun Facebook bernama “Ting Tiong Choon” semalam, ia telah menyoal tindakan rakyat di Kabong yang menyambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan mendukung beliau di atas sebuah perahu.


Komen tersebut menyifatkan tersebut seolah-olah Sarawak masih mundur dari segi pembangunan teknologi. Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah Abang Johari akan bangkit menjadi seorang maharaja.

“Is Sarawak 400 years behind China in our technology? Or was this anther emperor in the making? Sad to see and sad to know! (Adakah Sarawak 400 tahun mundur daripada China dalam teknologi kita? Atau adakah ini seorang maharaja yang akan bangkit? Sedih dilihat dan sedih untuk tahu),” menurut komen yang dimuat di laman Facebook akaun “Ting Tiong Choon”.

Idris mendakwa pemerhatian ke atas komen di Facebook akaun “Ting Tiong Choon” sering menyerang kerajaan negeri dan pemimpin-peminpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Beliau telah menyalahgunakan media sosial ini untuk menyebar dakyah politik rakus DAP dari Malaya serta pemikiran dan budaya politik yang boleh memecah-belahkan keharmonian kaum di Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum.

“Saya berharap pihak polis memantau ‘posting-posting’ beliau dari masa ke semasa,” kata Idris dalam satu kenyataan.

Beliau berkata komen tersebut adalah komen oleh seseorang yang tidak celik tentang budaya dan kesenian kaum Melayu di Sarawak.

“Perarakan menggunakan perahu membawa seseorang pemimpin khas adalah satu budaya mereka di Kabong bagi menunjukkan betapa sayang, sukacita, gembira dan hormat mereka kepada sesiapa termasuk pemimpin-pemimpin yang mereka kagumi.

“Justeru, mereka berbuat demikian bagi menyambut ketibaan ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari beberapa hari lepas. Datuk Patinggi Abang Joari pula penuh hormat dan bersetuju dibawa atas perahu khas tersebut agar tidak menyinggung perasaan penduduk-penduduk tempatan.

“Mereka mempunyai budaya bersifat halus dan berbudi bahasa tersebut turun termurun agar berterusan menjadi manusia yang berbudi pekerti.

“Sikap ini bertentangan dengan apa yang kita dapati dari Dr Ting, yang memberi komen menghina penduduk Kabong khususnya dan kaum Melayu amnya, tanpa sebarang nada sensitif,” tambah Idris. — DayakDaily