Polis cekup penganggur edar dadah

Royal Malaysia Police logo

LIMBANG, Ogos 25: Seorang penganggur dicekup selepas disyaki cuba mengedar dadah jenis syabu di sebuah rumah di Kampung Tuna di sini.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang berusia 43 tahun ditangkap pada pukul 11.45 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu beg berzip berwarna coklat yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu.


“Polis kemudian menjumpai empat paket plastik besar lutsinar dan 25 paket plastik kecil lutsinar disyaki jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut polis menemui 17 keratan tiub straw semua berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu,” katanya di sini hari ini.

Mohd Bukhori menambah, kesemua dadah yang dijumpai dan dirampas itu seberat 10.84 gram.

Jelasnya, anggaran nilai rampasan dadah tersebut ialah sebanyak RM1,490.

“Ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Bukhori memberitahu, menerusi serbuan berasingan, pihak polis berjaya menahan empat lagi individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia.

Ujarnya, keempat-empat suspek yang ditangkap itu berusia antara 31 hingga 50 tahun.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily