Polis cekup penganggur disyaki miliki dadah

Kelihatan dadah yang dirampas daripada suspek.

PADAWAN, Sept 17: Seorang penganggur diberkas selepas disyaki memiliki dadah dipercayai jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Flat Taman Suria Jaya, Matang di sini semalam.

Suspek lelaki berusia 23 tahun itu dicekup oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan pada pukul 4.15 petang diketuai oleh Insp Nicodemus Branking.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Merbin Lisa berkata, kejayaan operasi tersebut merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.


Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pasukan polis telah menjumpai tujuh paket plastik berisi dadah syabu seberat 5.33 gram.

“Anggaran nilai semasa pasaran bagi dadah yang dirampas itu adalah sebanyak RM700.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengaku mengedar dadah jenis syabu di sekitar kawasan Matang,” katanya di sini hari ini.

Merbin menambah, siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut pernah ditangkap di bawah kesalahan yang sama sebelum ini.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Ujian kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Dan 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. ā€” DayakDaily