Polis cekup lelaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah

Kelihatan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, April 26: Seorang lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah kedai bunga di Jalan Batu 8 di sini semalam.

Suspek yang berusia 26 tahun diberkas kira-kira pukul 2 petang oleh sepasukan anggota polis daripada IPD Padawan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa, berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui dadah jenis ketulan syabu seberat 5.31 gram.

Katanya, nilai pasaran rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM1,062.

“Hasil saringan awal air kencing suspek adalah positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine. Suspek direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga 29 April depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Merbin menambah, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily