Polis cekup dua penjenayah curi motosikal

Kelihatan dua suspek yang ditahan polis.

KUCHING, Okt 2: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah mencuri motosikal diberkas polis di Kampung Semariang Baru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, kedua-dua suspek yang ditahan tersebut berusia 20 dan 40 tahun.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam dengan kerjasama Biro Keselamatan Kampung Semariang Baru.

“Semasa tangkapan itu, polis turut berjaya sebuah motosikal curi yang digunakan suspek untuk mengutip besi buruk.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dicuri berkenaan dilaporkan hilang pada Nov 24, 2016 di Jalan Tun Abdul Rahman di Petra Jaya di sini,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ng memberitahu, pemilik motosikal yang berusia 47 tahun itu kerugian kira-kira RM3,500 selepas motosikal berkenaan dicuri sebelum ini.

Katanya, pihak polis masih mengesan dua lagi lelaki lain yang dipercayai terlibat sama dalan jenayah berkenaan, namun mereka masih bebas.

“Justeru, polis menyeru kepada masyarakat umum untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat terhadap dua lagi individu tersebut untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily