Polis cekup dua penganggur disyaki miliki dadah

Dadah yang dirampas daripada dua suspek.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 14: Polis menahan seorang lelaki dan wanita selepas disyaki memiliki dadah menerusi satu serbuan di sebuah bilik sewa di Jalan Kung Phin, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif, berkata kedua-dua suspek yang berusia 52 dan 23 tahun diberkas kira-kira pukul 12 tengah hari.


Jelasnya, hasil pemeriksaan oleh pasukan serbuan telah menjumpai satu botol plastik yang di dalamnya terdapat 13 paket plastik lutsinar, di mana setiap satu paket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu.

“Dadah seberat 31.66 gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM4,775. Kedua-dua suspek yang tidak memiliki pekerjaan itu kemudian dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952.

“Kedua-dua suspek juga didapati memiliki rekod jenayah lampau,” ujarnya. — DayakDaily