Polis cekup dua lelaki disyaki edar dadah

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 16: Polis telah memberkas dua lelaki yang disyaki pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Niah dekat sini.

Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 20 dan 40 tahun, diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada pukul 11.30 pagi.


Menurut sumber, semasa serbuan itu, kedua-dua suspek terkejut tergamam apabila menyedari kehadiran anggota polis. Pemeriksaan yang dijalankan berjaya menemui empat paket plastik disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah yang seberat 11.70 gram dan bernilai RM2,000 itu kemudian dirampas untuk tindakan selanjutnya. Kedua-dua suspek turut diberkas dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit.

Katanya, kejayaan serbuan itu adalah hasil risikan polis yang dilakukan sebelum ini. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily