Polis cekup 4 individu sedang khayal akibat pengaruh dadah

Keempat suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

SERIAN, April 19: Tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia yang sedang khayal akibat pengaruh dadah dicekup di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 34, Tarat, Jalan Kuching-Serian, kelmarin.

Keempat-empat suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp Aswandy Anis berkata, empat suspek yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 33 tahun.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas rumah tersebut oleh pihak polis telah menjumpai satu beg di atas meja almari solek.

“Apabila diperiksa di dalam beg tersebut telah menjumpai satu bekas kecil warna hitam di dalamnya mengandungi beberapa keratan tiub straw lutsinar pelbagai saiz masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut melakukan pemeriksaan ke atas kotak dalam laci almari yang mengandungi paket plastik lutisnar dan keratan tiub straw masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aswandy menambah, keempat-empat suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya lagi. — DayakDaily