Polis cekup 30 individu terlibat judi haram

Anggota polis melakukan serbuan di pusat-pusat perjudian haram.
Advertisement

KUCHING, Jun 3: Seramai 30 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram diberkas menerusi 18 serbuan berasingan yang dilakukan mulai Jun 1 lalu hingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua serbuan itu dilakukan di 12 daerah iaitu Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Bau, Mukah, Bintulu, Sri Aman, Limbang, Seratok, dan Sarikei.

Jelasnya, semua individu yang diberkas itu berusia antara 17 hingga 63 tahun.

Advertisement

“Sebanyak 13 serbuan telah dilakukan ke atas pusat menjual loteri haram, tiga serbuan di premis judi siber dan dua serbuan di tempat judi terbuka.

“Dalam serbuan tersebut 26 lelaki dan empat wanita termasuk seorang warga asing dicekup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota polis melakukan serbuan di pusat-pusat perjudian haram.

Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, dalam semua serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM4,463 disyaki hasil daripada perjudian haram.

Katanya, polis turut merampas 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba, slip pertaruhan, kad judi serta barangan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. —DayakDaily

Advertisement