Tiga temui ajal dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Tatau-Bintulu

Keadaan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di KM6, Jalan Tatau-Bintulu.

TATAU, Jun 3: Malang menimpa tiga daripada empat orang yang menaiki sebuah kereta Proton Wira apabila mereka maut dalam nahas tiga kenderaan di KM6, Jalan Tatau-Bintulu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu mengakibatkan tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai Bakie Ladin, 33, Jeanety Liah Liana Lily, 8, dan Sai Imong maut serta-merta di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu Bakie Ladin yang datang dari arah Bintulu menuju ke Tatau tiba-tiba hilang kawalan lalu apabila melalui satu selekoh.

Katanya, akibat hilang begitu, Proton Wira itu kemudian berselisih dengan sebuah Proton Exora yang datang dari arah Tatau menuju ke Bintulu.

“Keadaan itu menyebabkan Proton Wira bertembung dengan sebuah Toyota Camry yang mengekori belakang Proton Exora.

“Akibat dari kemalangan tersebut telah menyebabkan pemandu dan dua orang penumpang Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang penumpang mengalami cedera parah di bahagian muka dan kaki kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, Pemandu Toyota Camry pula tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala tiga penumpang mengalami cedera ringan.

Jelasnya, begitu juga pemandu Proton Exora bersama tiga penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily