Polis buru suspek rompakan bersenjata di MJC

Gambar daripada rakaman CCTV kedai tersebut.

KUCHING,17 Dis: Polis kini sedang memburu dua lelaki yang terlibat kes rompakan bersenjata sebuah kedai serbaneka di Bandar Baharu Batu Kawa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Aidil Bolhassan berkata seorang daripada suspek dikatakan masuk ke kedai tersebut dan berpura-pura ingin membeli pemetik api iaitu sekitar jam 7.30 malam.

Katanya, hanya seorang pekerja wanita berada kedai tersebut semasa kejadian berlaku.


“Wanita terbabit kemudian memasukkan kod pemetik api yang dibeli sebelum suspek tiba-tiba merampas telefon bimbit miliknya yang diletakkan di atas kaunter.

“Dia kemudian cuba menghalang suspek namun diserang suspek menggunakan parang pemotong daging sehingga menyebabkan kecederaan di lengan kanannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidil memberitahu suspek kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat mangsa selepas itu.

“Berdasarkan semakan pada kamera CCTV, dipercayai dua orang lelaki datang ke kedai tersebut, namun semasa kejadian hanya seorang sahaja suspek yang masuk ke dalam kedai dan seorang lagi berada di luar.

“Siasatan di tempat kejadian juga telah memperolehi kesan cap jari di meja kaunter pembayaran kedai,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh menghubungi atau melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran. -DayakDaily