Polis buru suspek kes gaduh di Siburan

Tangkap layar dari video kejadian.

KUCHING, 24 Jan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kini sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan yang dilaporkan berlaku di Siburan.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian dan operasi mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan.

Katanya, video kejadian juga telah tular di media sosial.


“Seorang daripada mangsa membuat laporan polis pada 18 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan segaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan objek.

“Pihak polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengan senjata dan juga khianat.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan parkir kereta hadapan sebuah pasaraya di Siburan.

“Kejadian berpunca daripada isu tidak berpuas hati kerana kereta terhalang,” katanya.

Walaubagaimanapun siasatan lanjut kes masih dijalankan.

“Polis menasihati orang ramak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan tidak berasas kerana ia boleh menganggu siasatan polis.

“Sekiranya ada maklumat berhubung kejadian, sila salurkan teus ke bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233,” katanya. — DayakDaily