Polis buru lelaki pukul kenderaan dengan kayu

Kejadian yang dirakam dan dikongsi warganet.
Advertisement

KOTA Samarahan, July 19: Polis kini sedang memburu lelaki disyaki kurang siuman yang dilaporkan bertindak memukul kereta orang awam semasa melalui jalan hadapan Bucida Resident, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita yang telah menjadi mangsa kejadian.

“Mangsa melaporkan ketika dia memandu melalui jalan raya tersebut, dengan tiba-tiba keretanya dipukul oleh suspek yang disyaki kurang siuman dengan menggunakan kayu.

Advertisement

“Tindakan suspek telah menyebabkan kerosakkan lampu belakang di bahagian kiri dengan kos membaiki dianggarkan bernilai RM1,200,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Jaimi memohon kerjasama orang ramai yang turut menjadi mangsa atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Adri di talian 014-8651605.

“Setakat ini, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat merosakkan harta benda yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“IPD Kota Samarahan sedang giat mengesan suspek untuk tindakan siasatan selanjutnya,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement