Polis buru lelaki berhubung kes penipuan jual beli tanah libatkan kerugian RM4.5 juta

Inilah suspek yang dikehendaki polis — Othman Bojeng.

KUCHING, Jun 25: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sedang mengesan seorang suspek lelaki yang bernama Othman Bojeng bagi membantu siasatan kes penipuan jual beli tanah di Kuching yang melibatkan kerugian sebanyak RM4.5 juta.

Ketua JSJK Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, alamat terakhir suspek yang berusia 61 tahun itu ialah di No 433 Lorong 5B1, Teluk Cinta Taman Desa Off, Jalan Batu Kawa, Kuching.

Jelasnya, suspek dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan jual beli tanah yang berlaku di Kuching pada Disember 2017.


“Suspek juga sedang disiasat berhubung dua lagi kes penipuan jual beli tanah yang berlaku di sekitar bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mustafa menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan JSJK Sarawak, Asp Pricha Azin di talian 019-8897640.

“Orang awam juga boleh menghubungi Inspektor Zurraidda Bujang di talian 019-8274217,” katanya. — DayakDaily