Pembangunan di Parlimen Batang Lupar diteruskan, kata Rohani

Rohani (duduk empat dari kanan) bersama masyarakat setempat di Dewan Dato Godam, Pusa.

BETING MARO, Jun 25: Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera parti serta pengundi di kawasan parlimen berkenaan kerana terus memberi kepercayaaan kepada dirinya sebagai wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Rohani memberitahu, kemenangannya dalam mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar yang disandangnya pada PRU14 lalu adalah berkat usaha semua pihak yang telah bekerja keras.

“Terima kasih di atas sokongan kepada semua yang terlibat secara tidak langsung sekali gus memberi kemenangan kepada saya dalam PRU14 lalu.


“Saya akan memastikan aspek pembangunan dapat diteruskan dengan sebaiknya selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Julai depan,” katanya di pada Majlis Gawai Raya 2018 dan Majlis Kesyukuran PRU14 di Dewan Dato Godam di sini semalam.

Turut hadir ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan Pegawai Daerah Pusa, Bujang Budin.

Rohani menambah, sama ada berada di pihak pembangkang atau sebaliknya, beliau akan menggalas tanggungjawab dalam membawa pembangunan berterusan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, beliau memberi jaminan untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batang Lupar meskipun dalam perubahan landskap politik baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Masih banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam untuk meneruskan segala perancangan pembangunan di kawasan ini.

“Jadi, adalah menjadi fokus kepada saya untuk memastikan segala pembangunan dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat di Parlimen Batang Lupar. — DayakDaily