MIRI, Mei 21: Tindakan seorang lelaki merompak dan melarikan beg tangan seorang pemilik butik di kawasan letak kereta di sebuah pasar raya di Pujut di sini akhirnya memakan diri apabila dia diberkas polis semalam.
Lebih menarik, pasukan polis berjaya menjejaki dan mencekup suspek berusia 28 tahun itu dalam tempoh satu jam 23 minit sahaja.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC. Dennis Leong Soon Kuai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, beg tangan wanita itu telah dilarikan suspek.
Katanya, suspek dikatakan melarikan beg tangan mangsa ketika mangsa meletakkan beg miliknya itu di atas bonet keretanya semasa membawa dua anaknya masuk ke dalam kereta.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas sekali apabila suspek terus merampas dan melarikan beg tangan pemilik butik tersebut.
“Mangsa tidak sempat mengejar suspek yang cepat melarikan diri sebelum dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dennis menambah, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pasar raya itu, polis kemudian melancarkan gerakan memburu suspek.
Katanya, hasil maklumat awam, polis akhirnya berjaya mengesan lokasi suspek sebelum melakukan serbuan dan tangkapan di Jalan Trusan di sini.
“Polis kemudian merampas semula beg tangan wanita berkenaan daripada suspek.
“Buat masa ini, pihak polis masih mengesan seorang lagi suspek yang disyaki bersengkokol suspek utama,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily