Lepasan sekolah disaran memilih Swinburne University, Sarawak

Fatimah (tengah) menyampaikan sumbangan Swinburne University Kampus Sarawak kepada wakil Persatuan Kebajikan Baitrurramah di majlis perasmian Swinburne Ramadan Bazar di kampus itu.

KUCHING, Mei 21: Kerajaan negeri menyarankan lepasan sekolah di negeri ini yang berkemampuan dan berminat melanjutkan pelajaran ke universiti antarabangsa berkualiti supaya memilih Swinburne University Kampus Sarawak yang ketika ini mempunyai rangking tertinggi bagi universiti terbabit di Borneo.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian dengan Swinburne University Kampus Sarawak telah memegang rangking tertinggi di kalangan universiti antarabangsa yang ada di Borneo sejak Julai tahun lepas.

“Universiti terbabit mendapat rangking tertinggi bagi universiti antarabangsa di Borneo pada Julai 2017, berdasarkan Rangking Universiti Asia Pasific 2017 yang disediakan secara tahunan oleh Times Higher Education (THE),” katanya ketika merasmikan acara Swinburne Ramadan Bazar 2018 di Swinburne University Kampus Sarawak, Jalan Simpang Tiga, di sini hari ini.

Keseluruhannya sebanyak 30 gerai dan tujuh trak menjual makanan dibuka di acara terbabit dan sebanyak tiga badan kebajikan iaitu Persatuan Kebajikan Baitrurramah, Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa (PIBAKAT) dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak telah menerima kutipan derma sebanyak RM3,000 dikutip pada acara itu tahun lepas.

Fatimah berkata universiti terkemuka berasal dari Australia terbabit kini menawarkan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berkemampuan bertaraf dunia kepada penduduk negeri ini sejak ditubuhkan di bandaraya ini pada 2000 dan semakin kukuh sebagai antara universiti utama di Malaysia.

Fatimah (dua dari kiri) melawat gerai di acara Swinburne Ramadan Bazar di Swinburne University Kampus Sarawak.

“Oleh itu, lepasan sekolah yang mencari pendidikan tinggi Australia berkelas dunia di rantau ini tidak perlu mencari jauh kerana ada di Swinburne University Kampus Sarawak. Mereka akan berkemampuan belajar di sini dan paling penting pelajarnya mengikuti pengajian dalam kursus kualiti tertinggi yang setaraf ditawarkan Swinburne University di Australia,” katanya.

Beliau berkata Swinburne University Kampus Sarawak kini juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan negeri dan agensinya sejak 18 tahun yang lepas dan sentiasa mendapat sokongan universiti terbabit samada melalui bidang penyelidikan, inovasi, latihan bekerja, pendidikan dan pelbagai bidang lain.

Sehubungan itu, Fatimah meminta universiti itu menjadikan acara Swinburne Ramadan Bazar sebagai acara tahunan di kampusnya dan berusaha menambah bilangan pelajarnya yang membuka gerai di acara itu bagi mendedahkan mereka dengan kemahiran menjadi usahawan serta menambah bilangan persatuan kebajikan baharu ditubuhkan bagi bagi menerima sumbangan wang derma dikutip melalui acara itu tahun hadapan. — DayakDaily