KOTA SAMARAHAN, 6 Mac: Dua individu berhadapan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang tidak jauh dari rumah pangsa Desa Ilmu, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.49 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat sebuah kereta Toyota Vios yang berada di bahu jalan telah dihempap sebatang pokok tumbang dan ketika kejadian terdapat dua mangsa berada di dalamnya telah berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian memotong serta mengalihkan pokok tumbang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala kedua-dua mangsa iaitu seorang wanita (pemandu) dan lelaki telah diberikan rawatan sebelum dikejarkan ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba.
“Mangsa wanita selamat, manakala mangsa lelaki cedera ringan di bahagian bahu,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.40 petang. — DayakDaily