KOTA SAMARAHAN, 30 Jan: Lebih 3,000 peserta akan terlibat di dalam Poco-Poco Marathon di Halaman Samarahan pada 3 Feb ini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos berkata, acara akan diadakan pada jam 7.30 pagi dan melibatkan peserta dari Kota Samarahan dan kawasan sekitarnya.
Ia termasuk peserta dari kampung-kampung di Daerah Asajaya dan Sadong Jaya.
“Poco-Poco Marathon ini bakal memecahkan rekod ‘Jumlah Peserta Terbanyak untuk Tarian Poco dalam Acara’ dalam Malaysian Book of Records.
“Setakat hari ini, kita sudah menerima 3,200 penyertaan dan Poco-Poco Marathon ini akan memecahkan rekod penyertaan terbanyak sebelum ini iaitu seramai 2,150 peserta,” katanya.
Minos berkata demikian pada sidang media setelah menerima sumbangan penaja berjumlah RM30,000 daripada 38 Yayasan Amal Cinta dan Kuching Love Book Association yang diwakili May Loo.
Poco-Poco Marathon dianjurkan Majlis Perbandaran Padawan, Pejabat Pentadbiran Daerah Asajaya dan Family Fitness. — DayakDaily