PMPG: Kaum Bumiputera diminta memberi definisi yang boleh diterima semua kaum

Abang Johari memukul gong sebagai simbolik merasmikan Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menoa Dan Pulau Galau.

KUCHING, Jan 24: Kerajaan negeri bersedia membantu memasukan definisi tanah “Pemakai Menoa dan Pulau Galau” (PMPG) dalam Kanun Tanah Negeri bagi memberinya kuasa perundangan tetapi meminta semua kaum Bumiputera di negeri terlebih dahulu memberikan definisi tanah itu yang tepat, sama dan boleh diterima semua kaum terbabit.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian semasa merujuk kepada isu tanah adat PMPG yang menjadi kebimbangan kaum Bumiputera di negeri ini selepas satu kes pertikaian tanah itu di Mahkamah Persekutuan pada Dis 16 dua tahun lepas telah memutuskan tanah terbabit tiada kuasa perundangan kerana tidak ada dimasukkan dalam Kanun Tanah Negeri yang selama ini menjadi undang-undang tanah Sarawak.

“Berikutan itu, kami mahu mereka (kaum Bumiputera di Sarawak) memberikan definisi bagi tanah ‘Pemakai Menoa dan Pulau Galau’ yang tepat, sama dan dapat diterima semua mereka termasuk sampai mana kawasan sempadannya sebelum kami menimbangkan pemindaan bagi memasukkan definisi terbabit ke dalam Kanun Tanah Negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menoa Dan Pulau Galau, di sini, hari ini.


Keseluruhannya seramai 450 peserta menghadiri persidangan tersebut dengan seramai 368 peserta ialah ketua masyarakat Bumiputera tempatan dari kaum Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh dan Orang Ulu.

Ketua masyarakat Bumiputera di negeri ini yang menyertai Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menoa Dan Pulau Galau.

Sementara itu, Abang Johari Tun Openg ketika berucap merasmikan persidangan terbabit berkata ketika ini definisi bagi tanah PMPG adalah berbeza bagi setiap kaum samada kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan Melanau serta Bumiputra lain, malahan definisi itu ada yang berbeza bagi satu kaum itu berdasarkan kepada kawasan penempatan mereka di negeri ini.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak boleh mengunakan definisi tanah PMPG yang berbeza mengikut setiap kaum Bumiputera yang ada di negeri ini bagi dimasukkan ke dalam Kanun Tanah Negeri kerana perkara yang berkaitan undang-undang mestilah sama, tepat dan dapat diterima semua.

“Jadi biarlah kita mendapatkan satu definisi tanah itu yang dapat diterima semua kaum. Saya yakin kita boleh mendapat penyelesaiannya dan kita berkehendakkan pandangan dari orang ramai mengenainya lebih-lebih lagi dari ketua masyarakat, kerana mereka yang menguruskan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurutnya, sekiranya persidangan itu berjaya menghasilkan definisi tanah itu yang dapat diterima semua kaum, pihaknya akan membincangkannya dalam kerajaan negeri dan setelah sudah mengambil kira pandangan dari semua pihak lain barulah akan merangka pindaan terhadap Kanun Tanah Negeri bagi memasukkan definisi tanah terbabit dalam kanun itu dan seterusnya memberikan tanah itu kuasa perundangan di mahkamah.

“Kami (kerajaan negeri) ikhlas….saya juga selepas mengambil alih (jawatan Ketua Menteri) daripada Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), memang mahu mengusahakan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tanah Pulau Galau dan Pemakai Menoa ini,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini juga bersedia mahu menyelesaikannya isu itu kerana menyedari negara yang tanpa undang-undang tanah yang baik akan menyebabkan pelabur asing enggan melabur di negara terbabit disamping akan menyebabkan berlaku pergaduhan berkaitan pemilikan tanah dikalangan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk negeri ini bersama-samanya mencari penyelesaian kepada isu tanah terbabit secara aman tanpa ada pertelingkahan dan meminta mereka mengelakkan membabitkan politik dalam membincangkannya. ā€” DayakDaily