PM: Tiada pilihanraya sepanjang tempoh darurat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Jan: Pilihan Raya Umum(PRU), Pilihan Raya Negeri(PRN) dan Pilihan Raya Kecil(PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.


“Dalam keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong.

“Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan Raya diadakan untuk mengelakkan wabak Covid-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini,’ katanya pada Pengumuman Khas Darurat pagi tadi.

Tambah Muhyiddin, beliau tidak berniat mengadakan pilihan raya walaupun terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya ia diadakan.

Ujar beliau, perkara utama yang menghalangnya daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik Covid-19.

Katanya keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik Covid-19 masih menular adalah untuk menjaga nyawa rakyat.

“Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan
ditubuhkan memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian,’ tegas beliau.

Muhyiddin juga berkata, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga satu tempoh yang ditetapkan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi
Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia. – DayakDaily