PM tawar pembangkang anggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUCHING, 22 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Katanya, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

ā€œOleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,ā€ katanya pada ucapan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan hari ini.


Tambah Ismail Sabri, kerajaan akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Beliau berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

ā€œHasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara,ā€ ujar beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Ke-9 berkata tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

ā€œMarilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaiki, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.

ā€œKebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

ā€œKesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,ā€ tegas Ismail Sabri. ā€” DayakDaily