PM: Sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Chris Bishop

KUCHING, 15 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa sidang parlimen boleh diadakan sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

Katanya, ini adalah pendirian beliau dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti
berkelompok.


“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya semasa mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara hari ini.

Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Berdasarkan pelan tersebut kata Muhyiddin, negara berada di fasa ketiga pada bulan September atau Oktober.

Semasa Fasa Ketiga jelas beliau, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

Tambah beliau, senarai negatif melibatkan aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.

“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti Fasa Kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily