PM: Peruntukan RM400 juta lagi tambah bekalan vaksin negara

File photo depicting a dose of a Covid-19 vaccine being prepared. Photo source: Flickr, Creative Commons License

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan memperuntukan sejumlah RM400 juta lagi untuk menambah bekalan vaksin negara.

Pada pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi mempercepat jadual pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

“Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.


“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan,” katanya.

Tambah Muhyiddin, sehingga hari ini kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT.

Katanya lagi, bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, Kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu dengan peruntukan berjumlah RM200 juta.

Peruntukan ini juga melibatkan kerja menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home.

Terdahulu beliau mengumumkan bahawa statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi lima juta orang.

Katanya, sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir dua juta orang atau enam peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200,000 sehari dalam tempoh tujuh (7) hari lalu.

“Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini,” ujarnya. — DayakDaily