PM: Perlanjutan tempoh moratorium diteruskan

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, 18 Jan: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan perlanjutan tempoh moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berjumlah RM15 bilion.

“Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank seperti yang diumumkan sebelum ini.


“Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman,” katanya.

Menurut Muhyiddin, setakat ini lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu.

Manakala 99 peratus bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula telah diluluskan.

“Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran,” ujar beliau.

Tambah Muhyiddin, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia sedia membantu.

Selain itu katanya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga sedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat melalui telefon atau secara dalam talian.

Pakej bantuan Permai bertujuan menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan 22 inisiatif yang berkaitan. — DayakDaily