PM: Kerajaan setuju beri geran kepada PKMS terjejas banjir

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 24 Jan: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) secara prinsip bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengumumkan inisiatif ini setelah butirannya diperhalusi dan dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin.

“Sebagai tindakan seterusnya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang saya pengerusikan hari ini telah membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Medac (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan.

“Ia bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, lawatan susulan ke lokasi yang dikenalpasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Medac telah berkongsi tentang impak akibat banjir.

Mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

Kerajaan telah memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam. — DayakDaily