PM: Kerajaan sedia peruntukan awal bencana RM200 juta

Bencana banjir (gambar fail).

KUCHING, 18 Jan: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan awal bencana sebanyak RM200 juta.

Katanya, ia disalurkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan bagi membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam baru-baru ini.

“Dalam masa kita menghadapi wabak Covid-19, negara kita juga diuji dengan bencana banjir.


“Peruntukan awal adalah untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur kecil dan  rumah mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) hari ini.

Di samping itu kata Muhyiddin, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Nadma.

Ia bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong baru baru ini.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong katanya turut mencemar duli dalam meredah banjir, serta terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan sementara, dan juga kampung-kampung sekitar Pahang. — DayakDaily