PM: Kebenaran pergerakan rentas negeri serentak seluruh negara mulai esok, 11 Oktober

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 10 Okt: Kebenaran pergerakan rentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara mulai esok, 11 Oktober 2021.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat setelah kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) telah mencapai 90 peratus.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021


“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Berikutan kebenaran rentas negeri itu, Ismail Sabri menyaran agar Keluarga Malaysia melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Namun bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, beliau menasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan.

“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Ismail Sabri, walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

Katanya, pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya juga ingin menegaskan kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),”ujar beliau.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan juga turut bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mulai 11 Oktober 2021.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah.

“Rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,” katanya. — DayakDaily