PM: Jangan takut terima vaksin

Antara pertugas kesihatan yang menerima dos pertama Vaksin Covid-19 hari ini (24 Feb)

PUTRAJAYA, 24 Feb: Rakyat dinegara ini yang berumur 18 tahun keatas dinasihat untuk tidak perlu takut untuk menerima vaksin Covid-19 yang diberikan menerusi program vaksinasi kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, vaksin tersebut adalah selamat dan ia akan dapat membantu dalam membina imuniti yang di perlukan untuk melawan jangkitan Covid-19.

“Jangan bimbang dan datanglah kehadapan dan daftarlah untuk menerima vaksin menerusi applikasi MySejahtera,”katanya selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, hari ini.


Katanya, pendaftaran itu penting agar dapat digunakan untuk menentukan masa temujanji bagi pemberian dos pertama vaksin tersebut.

Beliau berkata, setiap lapisan masyarakat perlu yakin dan percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk memastikan negara ini dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Marilah kita sama-sama mendokong usaha ini untuk menentukan negara kita nanti Insya Allah dalam satu tempoh masa yang singkat akan bebas daripada wabak Covid-19 ini, “katanya.

Mengulas proses pemberian vaksin tersebut, Muhyiddin berkata, ia sama seperti menerima suntikan biasa dan hanya memerlukan masa yang singkat untuk menerimanya.

Justeru kata beliau, orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamatan terhadap penerimaan dan pemberian vaksin tersebut kepada mereka.

Program Imunisasi Kebangsaan dilancar pada hari ini dengan Muhyiddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan dos pertama Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNTech.

Turut menerima suntikan dos pertama vaksin tersebut hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Sehingga kini, sejumlah 462,081 pendaftaran bagi program vaksinasi kebangsaan diterima menerusi aplikasi MySejahtera. -DayakDaily