PM Anwar yakin Sarawak gagah dari sudut ekonomi di masa depan

Anwar dalam ucapan di Program Madani Rakyat 2024 di Miri.
Advertisement

KUCHING, 28 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Sarawak bakal memiliki ekonomi gagah di masa hadapan.

Katanya, ia berikutan langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Negeri dengan mengambil peluang terhadap ekonomi baharu.

“Saya ucap tahniah kepada kerajaan Sarawak kerana cepat menangkap, kalau kita ada pelaburan, Sarawak sekarang termasuk Miri, sudah menjadi medan hub tenaga bagi rantau kita.

Advertisement

“Mana-mana negara kalau tengok di mana hub tenaga yang boleh membekal tenaga hijau, tenaga alternatif atau hidrogen, dia lihat terus ke Sarawak.

“Jadi Sarawak punyai potensi kekuatan ekonomi yang gagah pada masa depan,” kata Anwar dalam ucapan Perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Pusat menyokong sepenuhnya arah tuju yang dipilih oleh pemimpin Sarawak.

Katanya, ia penting agar politik di negeri ini terus stabil dan dapat fokus ke arah pembangunan.

“Kita tak pernah melepaskan pembangunan ini, pembangunan seluruh negara.

“Saya bincang soal tenaga, dan tentunya lain-lain.

“Sarawak tetap disebut dan disokong supaya menjadi sesuatu yang benar-benar berhasil dan berjaya,” ujar Anwar.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof. — DayakDaily

Advertisement