This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Julai: Rakyat Sarawak selayaknya menikmati hasil limpahan kekayaan ekonomi dan pembangunan yang sama adil dan saksama dengan warga Semenanjung, kata Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menegaskan ia seperti pepatah Melayu, “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”.
Beliau mengulas berhubung Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada semalam.
“Tarikh ini amat besar maknanya kepada rakyat Sarawak tatkala 60 tahun yang lalu Sarawak mencapai kemerdekaannya dari penjajahan Inggeris pada 22 Julai 1963.
“Tarikh ini juga menyaksikan Gabenor Inggeris yang terakhir Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan kuasa pentadbiran Sarawak kepada rakyat (‘self-rule’) melalui Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama,” kata Anwar.
Tambah beliau, tumpuan Kerajaan Perpaduan adalah bagaimana dapat dinoktahkan kemiskinan pada tahun ini.
Katanya, ini tentunya akan memberi manfaat kepadabNegeri Sarawak, serta jurang mesti dirapatkan demi kemakmuran dan kesejahteraan kita bersama.
“Mewakili pihak kerajaan saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak,” ujar Anwar. — DayakDaily