KUCHING, 20 Dis: Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan akan disalurkan pada bulan Januari 2023 tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.
“Dengan isu generasi tercicir ekoran kemelut pandemik yang baru berlalu, adalah penting untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.
“Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Rang Undang-Undang (RUU) Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Persidangan Parlimen hari ini.
Bagi para belia tambah Anwar, Kerajaan akan menyediakan tawaran 50 ribu peluang kerjaya secara kontrak.
Ia termasuk 35 ribu oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program MySTEP untuk tahun 2023.
Jelas beliau lagi, bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan selama ini akan tetap diteruskan.
“Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini.
“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang,” ujar Anwar.
Dalam ucapan yang sama, beliau berkata Kerajaan akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh ini.
Setakat ini katanya, Kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320 ribu pekebun kecil getah.
“Sukacita sebagai tambahan, Kerajaan bercadang untuk menyalurkan Bantuan Tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bagi bulan Januari ini,” katanya. — DayakDaily