KUCHING, 14 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berharap kerajaan persekutuan menyegerakan pembinaan Balai Bomba kelas D di Pekan Belaga.
Ketua cabang Hulu Rajang Abun Sui Anyit berkata, ia harus dipantau agar tidak ada kelewatan dari jadual asal.
Beliau mengulas berhubung kejadian kebakaran yang telah memusnahkan bangunan Ibu Pejabat Polis Belaga hari ini.
“Kebakaran ini sudah tentu tidak dapat dipadamkan setelah dijilat api yang sedang marak kerana Perkhidmatan Bomba dan Oenyelamat yang lebih lengkap belum ada di Pekan Belaga.
“Balai Bomba yang sedang dalam pembinaan ini tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Belaga iaitu lebih kurang 500 meter sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Di samping itu, Abun juga mengingatkan kerajaan agar segera membina Balai Bomba kelas D di Pekan Sungai Asap, Belaga. — DayakDaily