PKR Sarawak sifatkan kerajaan PN-GPS gagal tangani penularan Covid-19

Dr Michael Teo

KUCHING, 3 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyifatkan Kerajaan Perikatan Nasional(PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal dalam menangani penularan virus Covid-19.

Naib Presiden PKR Sabah dan Sarawak Dr Micheal Teo berkata, ia susulan peningkatan kes positif dan kematian secara mendadak akibat Covid-19 di negeri ini.

“Kemampuan sistem kesihatan di negeri ini dikhuatiri tidak dapat menampung pertambahan pesakit setiap hari dan keadaan sangat membimbangkan.


“Setakat 30 April 2021, Sarawak mencatat 30,659 kes positif dan 43,815 individu dalam siasatan (PUI),” katanya dalam satu kenyataan bersama Ketua Wanita PKR Sarawak Agnes Padan dan Timbalan Ketua PKR Sarawak Zulhaidah Suboh hari ini.

Dr Teo yang juga MP Miri juga menyifatkan Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang lambat dalam pelaksanaan program vaksinasi.

Merujuk kepada status yang dimuat naik oleh Dato Sri Dr Sim Kui Hian, katanya, perancangan 50,000 suntikan sehari adalah satu pendekatan yang lambat di mana ia akan mengambil masa empat bulan untuk memberi suntikan kepada 22 juta penduduk Sarawak.

Dalam kenyataan itu, beliau menyokong idea Ketua Pengarah Kesihatan Negara Tan Sri Noor Hisham Abdulah untuk melantik klinik swasta dan awam untuk memberikan vaksin kepada penduduk Malaysia.

“Ini harus diadaptasi di seluruh negeri dimana klinik atau hospital awam dan swasta diberi kepercayaan untuk berganding bahu memberi vaksin kepada rakyat Sarawak.

“Proses pemberian vaksin harus dipercepatkan dan Malaysia sepatutnya mencontohi kepantasan negara Amerika yang nyata mampu meningkatkan daya tahan badan dan pada masa yang sama terbukti mampu menyumbang kepada penurunan kes positif Covid-19 di negara ini,” ujar beliau. — DayakDaily