PKR Sarawak guna logo parti pada PRU12 dan PRU15

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 14 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan menggunakan logo parti pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan Pilihanraya Umum Parlimen ke-15 (PRU15) akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, PKR Sarawak berkata, PRN12 dijangka diadakan pada bila-bila masa apabila Darurat Sarawak ditamatkan pada 2 Februari 2022, atau lebih awal.

“Keputusan sebulat suara oleh ahli mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri(MPN) ini telah dicapai di dalam satu mesyuarat yang lepas.


“Ini hanya diumumkan secara rasmi pada masa sesuai seperti pada kali ini selepas negeri-negeri lain di seluruh Malaysia turut membuat keputusan rasmi mereka dan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan penggunaan logo yang sama iaitu logo PKR,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat MPN Sarawak yang lepas membuat keputusan ini kerana logo PKR telah dikenali dan sangat terkenal di kalangan rakyat dan pengundi di seluruh Sarawak.

Jelas PKR Sarawak, rakyat Malaysia yakin dengan logo PKR yang telah berjaya menumbangkan rejim Barisan Nasional yang berkuasa selama 60 tahun pada PRU14, iaitu pada 9 Mei, 2018 yang lepas.

“Semua ketua cabang PKR di seluruh Sarawak telah bersetuju dan menyokong penuh keputusan MPN agar semua calon parti menggunakan logo PKR ini,” katanya. — DayakDaily