KUCHING, 2 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa kerajaan khususnya wakil rakyat mengkaji sedalamnya punca daerah Pusa tersenarai antara 10 daerah termiskin di Malaysia.
Menurut Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh, Pusa yang kira-kira 70 km dari Pekan Betong walaupun disediakan dengan jalan perhubungan seperti jalan darat dan sungai masih tidak berubah sehingga sekarang.
“Namun di mana silapnya, sehingga Daerah Pusa yang strategik ini menjadi antara daerah yang tersenarai dalam daerah yang masih miskin.
“Apakah pemimpin yang diberi mandat tidak serius membangunkan masyarakat? Atau apakah pemimpin yang diberi mandat tidak jelas apa yang harus dibangunkan?
“Atau apakah pemimpin yang diberi mandat hanya membangunkan diri, keluarga dan kroninya sahaja,” soal Abang Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh selepas mencapai kemerdekaaan tambah beliau, hakikatnya wakil rakyat silih berganti termasuk ketua-ketua masyarakat.
Soal Abang Zulkifli lagi, apakah peruntukan pembangunan di Bahagian Betong telah diagih dengan cara yang tidak adil?
Justeru katanya, soalan-soalan ini harus dirungkai dan dibahas dengan minda terbuka, tanpa bersifat prejudis.
“Kegagalan ini harus diteliti dan dikaji. Rakyat tidak harus takut menyatakan kebenaran dan tidak perlu takut bertindak untuk mendesak bagi mendapatkan hak pembangunan yang adil, khususnya pembangunan ekonomi.
“Wakil rakyat dan ketua masyarakat harus meluaskan peranan mereka dan bukannya hanya menumpukan kepada projek kecil luar bandar sahaja.
“Tetapi lebih dari itu, seperti projek pertanian, perikanan, ternakan dan industri kampung bersekala untuk rakyat dan bukan hanya diserah dan disandarkan kepada “kapitalis”.
“Selain dari itu, mereka harus berperanan sebagai mentor kepada rakyat,” katanya.
Daerah Pusa terdiri daripada kira-kira 15,000 penduduk yang sebahagian besarnya Bumiputera Melayu, diikuti Kaum Iban dan sebahagian kecil masyarakat Cina yang mendiami kawan Pekan dan Bazar.
Sebahagian besar penduduk Daerah Pusa terdiri dari kaum Nelayan dan Petani. — DayakDaily