PKR Sarawak desak sidang khas DUN bincang isu pembelian vaksin

Abang Zulkifli Abang Engkeh

KUCHING, 3 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mendesak kerajaan negeri mengadakan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincang hal pembelian vaksin Covid-19.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, sebarang keputusan yang melibatkan perbelanjaan besar yang dilakukan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dibahas dan diluluskan oleh DUN.

“PKR Sarawak menyokong dan sependapat dengan YB Chong (Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen) supaya Sarawak mengadakan sidang khas DUN untuk membincang hal pembelian vaksin Covid-19.


“PKR menyokong penuh hasrat kerajaan untuk membeli sendiri vaksin tersebut supaya mempercepatkan lagi proses vaksinasi rakyat, namun apa yang kita lihat sekarang ialah proses tersebut sangat lambat.

“Kerajaan tidak boleh semata-mata berbelanja membelakangkan rakyat dengan alasan menggunakan undang undang darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abang Zulkifli berkata bahawa Sarawak tidak perlu tunduk kepada kerajaan pusat kerana kerajaan negeri mempunyai autonomi sendiri.

Katanya, kerajaan negeri boleh berbelanja kerana mempunyai kemampuan berbuat demikian. — DayakDaily