PKR Sarawak bantu rakyat dapatkan status warganegara

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 8 Feb: Satu jawatankuasa khas telahpun ditubuhkan untuk menangani isu ketiadaan kad pengenalan dan sijil lahir taraf warganegara Malaysia.

Justeru kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abun Sui Anyit, sesiapa yang masih menghadapi masalah ketiadaan kad pengenalan dan sijil lahir perlu tampil ke depan membuat permohonan baharu.

“Mereka juga dinasihat membawa resit permohonan lama kepada Pejabat Jabatan Pendaftaran Negera terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, PKR Sarawak melalui 31 cabang termasuk bersedia membantu rakyat di kawasan pedalaman serta yang menghadapi kekangan kemiskinan untuk datang ke JPN terdekat.

“Semua data dan maklumat yang dikumpul akan dibawa ke Pejabat Menteri Dalam Negeri oleh wakil PKR Sarawak untuk tindakan lanjut jawatankuasa khas tersebut.

“Usaha ini diharap berterusan sehingga tiada lagi pihak yang layak masih ketiadaan taraf kewarnegaraan di negara ini,” kata Abun. — DayakDaily