PKR sah terima permohonan keanggotaan Salleh secara dalam talian

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, Okt 6: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keanggotaan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak secara dalam talian.

Fahmi dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan, Biro Politik PKR akan membincang dan mempertimbangkan permohonan Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia pada mesyuarat yang akan datang.

Salleh dalam laman blognya, sallehsaid.com semalam mengesahkan memohon menjadi ahli PKR secara dalam talian dan menyerahkan kepada kepimpinan PKR untuk mempertimbangkan permohonan beliau menyertai parti itu.


Beliau memilih PKR kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan juga suasana politik di Sabah.

“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan Sabah.

“Saya ingin membantu PKR membawa politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan terutamanya di Sabah.

“Dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstremis yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, saya percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara dari bencana ekstremisme,” katanya.

Salleh yang bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU14 lalu tewas apabila memperoleh 19,167 undi berbanding calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis dengan 23,429 undi. — DayakDaily