PKR rayu pengundi Sarawak tidak tolak calonnya

Abun Sui Anyit

KUCHING, 23 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak merayu kepada pengundi-pengundi Sarawak agar tidak menolak calon-calonnya di Sarawak semata–mata atas alasan kekalahan rakan parti di Melaka.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, partinya mengambil iktibar daripada kekalahan tersebut.

“Kami tidak seharusnya ditolak kerana isu-isu yang diperjuangkan calon-calon PKR Sarawak adalah sangat relevan dan dekat di hati rakyat.

“Ini seperti isu tanah, adat pemakai menua pulau galau, jalan raya tar masih sangat kurang di pedalaman, isu air bersih, isu elektrik, isu rasuah berleluasa dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, rakyat Sarawak akan sangat rugi sekiranya menolak mentah-mentah parti Pakatan Harapan (PH) atas alasan di Melaka.

Katanya, calon dan parti PH di Sarawak benar-benar berjuang untuk rakyat Sarawak.

“Akhirnya, PKR Sarawak menggesa pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan prosedur operasi standard yang longgar untuk membolehkan peratusan pengundi keluar mengundi adalah tinggi,” ujar beliau. — DayakDaily